Strategi percepat pemulihan ekonomi antara isu dibangkit di Parlimen hari ini

Strategi percepat pemulihan ekonomi antara isu dibangkit di Parlimen hari ini

Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) akan bertanyakan mengenai langkah kerajaan berhubung perkara itu kepada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa selepas sesi soal jawab lisan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Strategi mempercepat pemulihan ekonomi negara menjadi antara isu yang dibangkitkan pada Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) bertanyakan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berhubung strategi dan langkah yang akan diambil kerajaan untuk mempercepat pemulihan ekonomi negara, khususnya bagi memenuhi keperluan kumpulan rentan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pada sesi soal jawab lisan.

Selain itu, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) bertanyakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai perkembangan pindaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan untuk menyahjenayah cubaan bunuh diri, bagi menangani peningkatan cubaan membunuh diri di seluruh negara.

Turut menarik perhatian, soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang meminta Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin menyatakan sejauh manakah kementerian bersetuju menguatkuasakan Akta Bahasa Kebangsaan di institusi pengajian tinggi, terutama dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Selesai sesi berkenaan, Mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.