
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah, berkata status Shahelmey sebagai Ahli Parlimen tidak relevan kepada survival politiknya mengambil kira kedudukannya sebagai timbalan ketua menteri Sabah dan Adun Tanjung Keramat.
“Shahelmey sebelum ini mengambil pendirian tegas menyokong Ketua Menteri Hajiji Noor. Beliau berkemungkinan akan memberi tumpuan penuh kepada Sabah dan sanggup melepaskan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen,” katanya kepada FMT.
Katanya, Shahelmey juga selepas itu boleh menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah diketuai Hajiji, selain kekal sebagai Adun memandangkan undang-undang anti-lompat belum berkuatkuasa di peringkat negeri.
Bagaimanapun, mengikut undang-undang anti-lompat di peringkat persekutuan, Shahelmey akan kehilangan kerusi Parlimen sekiranya bertindak keluar Umno.
“Jadi, pilihan raya kecil akan berlaku. Kita boleh melihat gabungan parti dalam kerajaan perpaduan termasuk Pakatan Harapan, Barisan Nasional (BN), dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merebut kerusi berkenaan,” kata Lee.
Shahelmey dipilih atas tiket BN, namun gabungan itu mungkin sukar menang semula kerusi berkenaan susulan hubungan dingin Umno Sabah dan GRS, katanya.
Minggu lalu, Shahelmey digantung Umno kerana enggan mematuhi arahan parti dalam cubaan menjatuhkan Hajiji, awal tahun ini. Langkah politik menumbangkan Hajiji akhirnya membuktikan beliau masih menikmati sokongan majoriti melibatkan 73 Adun Sabah.
Lee berkata, beliau percaya penggantungan Shahelmey bertujuan menamatkan kerjaya politiknya dalam Umno daripada bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Seorang lagi penganalisis, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata beliau tidak yakin penggantungan Shahelmey menjurus kepada berakhirnya ikatan GRS-Umno.
“Apabila kepentingan mereka bersangkutan, mereka akan terus bekerjasama,” katanya kepada FMT.