
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, beberapa justifikasi baharu akan dibuat bagi tujuan itu.
“Bagi mereka, khususnya doktor dan paramedik, calon yang ingin dilantik tetap dalam perkhidmatan awam, mereka perlu mengemukakan permohonan melalui sistem pendaftaran pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Zaliha berkata, seramai 7,061 pegawai perubatan, 610 pegawai pergigian dan 1,461 pegawai farmasi memohon untuk mengisi 4,914 jawatan tetap bermula 1 Mac lalu.
Katanya, seramai 2,971 jururawat Gred U29 akan dilantik ke jawatan tetap tahun ini, mereka terdiri daripada lantikan kontrak yang sedang berkhidmat dan pelatih Institut Latihan KKM (ILKKM).
Selain itu, 792 penolong pegawai perubatan Gred U29 lantikan kontrak juga akan diserap ke jawatan tetap tahun ini.
Menjawab soalan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berhubung penyerapan pegawai perubatan dan pelantikan pakar perubatan nefrologi di Hospital Selayang yang bersara wajib, katanya, KKM mahu menyerap seramai mungkin kakitangan ke jawatan tetap, namun ia memakan masa dan memerlukan perbincangan.
“Tentang hal seperti itu, memang saya sentiasa berhubung dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan SPA.
“Apabila kita lantik (ke jawatan) tetap, ada satu lagi yang kerajaan perlu lihat ialah beban kemudian apabila mereka pencen nanti. Bagaimanapun, untuk perkhidmatan kesihatan, ia adalah keperluan. Beri saya masa untuk lakukan perbincangan dengan pihak terlibat.”