Kelewatan komuter Lembah Klang bersifat sementara, kata Loke

Kelewatan komuter Lembah Klang bersifat sementara, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata, masalah itu akan dapat diselesaikan sebaik sahaja projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 1 (KVDT1) siap sepenuhnya.

Loke Siew Fook berkata, masalah perkhidmatan komuter KTM itu disebabkan pembinaan dan penaiktarafan landasan berkembar yang sedang dilakukan.
KUALA LUMPUR:
Isu kelewatan tren komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Lembah Klang hanyalah bersifat sementara dan perkhidmatan itu tidak wajar dianggap semakin kurang popular, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Beliau berkata masalah itu akan dapat diselesaikan sebaik sahaja projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 1 (KVDT1) siap sepenuhnya.

“Memang terdapat masalah perkhidmatan disebabkan pembinaan dan penaiktarafan landasan berkembar kita yang masih lagi berjalan dan ini beri kesan kepada operasi, terutama kekerapan tren sedia ada dan sudah tentu jangka masa (menunggu) di stesen lebih lama, itu sebab ramai yang mengeluh.

“Kita akan terus berbincang dengan KTMB untuk melihat bagaimana untuk menambah kekerapan tren bagi mengatasi cabaran operasi ini,” katanya selepas majlis menandatangani Perjanjian Bersama Ke-10 KTMB dengan Kesatuan Pekerja-pekerja KTMB (RUM) di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Mohd Rani Hisham Samsudin dan Presiden RUM Abdul Razak Md Hassan.

Beliau turut merujuk Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang popular sehingga ramai mengeluh tidak dapat membeli tiket.

“Jadi, tak tepat mengatakan perkhidmatan KTMB tidak popular. Isu ini ia cuma melibatkan satu sektor sahaja, iaitu komuter Lembah Klang sebab ada masalah operasi dan kita akui masalah ini,” katanya.

Terdahulu, perjanjian bersama itu antara lain mengandungi cadangan pelarasan gaji membabitkan kakitangan KTMB serta nilai tambah kemudahan dan faedah sedia ada kepada ahli kesatuan serta kakitangan dan ia diluluskan Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 13 Jan lepas.

Rani dalam ucapannya berkata Kementerian Kewangan meluluskan pelarasan gaji sebanyak 12% kepada semua kakitangan bukan eksekutif gred 9 dan 10, manakala pelarasan gaji sebanyak 15% bagi kakitangan gred 11 dan 12.

“Kita amat bersyukur dengan adanya pelarasan gaji ini akan memberi suntikan semangat untuk semua peringkat kakitangan bukan eksekutif bagi meningkatkan prestasi kerja serta menyumbang tenaga dalam merealisasikan pelaksanaan pelan dan aktiviti transformasi syarikat.

“Kementerian Kewangan juga bersetuju meluluskan beberapa lagi nilai tambah kepada kemudahan dan faedah sedia ada yang dinikmati semua ahli kesatuan dan kakitangan berjawatan bukan eksekutif,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.