Bayaran dividen diteruskan walau cagar KWSP, kata Anwar

Bayaran dividen diteruskan walau cagar KWSP, kata Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dividen tidak dipotong kerana akan diberikan ikut kumpulan asal.

Kerajaan telah mendapatkan nasihat daripada KWSP dan peguam negara berhubung cadangan membolehkan pencarum menggunakan simpanan sebagai cagaran. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pembayaran dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pencarum akan diteruskan walaupun mereka menggunakan simpanan sebagai cagaran kepada bank, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Umpamanya RM50,000 sebagai pinjaman, tetapi dividen itu akan diberikan sepenuh ikut kumpulan asal. Jadi tidak dipotong (dividen),” katanya di Dewan Rakyat, ketika waktu pertanyaan menteri.

Anwar yang juga menteri kewangan menjawab soalan Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang bertanya adakah kaedah cagaran itu melanggar Akta KWSP dan sama ada perdana menteri mendapatkan nasihat peguam negara.

Beliau berkata cadangan itu tidak bercanggah dengan Akta KWSP dan kerajaan telah mendapatkan nasihat daripada KWSP dan peguam negara.

Katanya, beliau difahamkan kesan terhadap KWSP “sangat minimum” kerana badan itu merasakan pulangan dapat diperolehi dalam beberapa tahun.

Sebelum ini Anwar mengumumkan cadangan membolehkan pencarum KWSP yang terdesak menggunakan simpanan sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.

KWSP dalam kenyataan berkata, ia sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan kemudahan “penggunaan baki caruman dalam Akaun 2” sebagai “sokongan untuk membuat pinjaman peribadi”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.