
Ini bermakna pengguna jalan raya boleh membayar tol menggunakan kad kredit dan debit selain Touch ‘n Go.
Lima lebuh raya itu ialah Sungai Besi, Lebuhraya Pantai Baru, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie dan Jambatan Pulau Pinang.
Kenyataan Nanta dibuat selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan akan mengkaji semula monopoli TnG ke atas kutipan tol lebuh raya kerana sistem itu tidak mempunyai peningkatan dan pembangunan yang ketara.
Nanta berkata, usaha itu sudah pun dimulakan sejak tahun lalu lagi dan perkara ini turut menjadi fokus utama dalam kementeriannya.
“Sejak awal tahun ini, saya sudah mengarahkan perancangan serta perbincangan bersama pihak terbabit serta syarikat konsesi lebuh raya bagi mengorak langkah ke arah pelaksanaan sistem pembayaran terbuka.
“Pelaksanaan sistem pembayaran terbuka ini antara inisiatif awal sebagai peralihan kepada arah Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang sedang giat diusahakan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Dalam pada itu, Nanta turut memaklumkan, ‘Proof of Concept’ (POC) MLFF juga akan dijalankan sebelum penghujung Oktober depan bagi menilai sistem MLFF sebelum ia dilaksanakan di semua lebuh raya di Malaysia.
Beliau berkata, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka bagi kutipan tol di semua lebuh raya akan membuka peluang kepada lebih ramai pihak penyedia kemudahan ‘e-wallet’ untuk turut serta selain menghentikan monopoli oleh TnG.
“Dengan itu, persaingan sihat akan wujud di antara pemain industri yang akan membuka lebih banyak pilihan kepada pengguna lebuh raya untuk membuat pembayaran tol sekaligus memberikan kemudahan kepada mereka.
“Saya berharap usaha ini akan mendapat kerjasama semua pihak dan memberi manfaat yang menyeluruh kepada semua terutamanya rakyat dan pengguna lebuh raya di negara ini,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengarahkan semua agensi termasuk operator pengangkutan awam di bawah kementeriannya untuk mengaplikasikan satu sistem pembayaran terbuka.
Beliau berkata, buat masa ini, tempoh beberapa bulan diperlukan untuk mengintegrasikan sistem pembayaran terbuka itu.