Jelaskan perjanjian stadium Shah Alam, kerajaan Selangor diberitahu

Jelaskan perjanjian stadium Shah Alam, kerajaan Selangor diberitahu

Parti Hijau Malaysia ingin tahu sama ada terma rujukan termasuk meroboh dan membina semula, serta pembinaan bangunan lain seperti pusat beli-belah.

Kerajaan Selangor pada Julai lalu berkata, ia melantik MRCB melaksanakan projek stadium Shah Alam menerusi perkongsian awam-swasta.
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor digesa menjelaskan syarat perjanjian pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam.

Kumpulan alam sekitar, Parti Hijau Malaysia mempersoalkan sama ada syarat itu untuk baik pulih atau perobohan dan pembinaan semula stadium Shah Alam.

Setiausaha kumpulan itu, Abdul Razak Ismail dalam kenyataan ingin tahu sama ada ia termasuk pembinaan sebuah hotel, pusat beli-belah dan pusat komersial beserta tanah ganti.

“Kerajaan negeri melalui MRCB bercadang merobohkan stadium Shah Alam dan Stadium Tertutup Malawati bagi memberi laluan pembinaan sebuah stadium baharu lebih kecil yang hanya boleh memuatkan 35,000 penonton berbanding stadium sedia ada boleh memuatkan kira-kira 85,000 penonton.”

Katanya, kerajaan negeri perlu mengesahkan sama ada terma rujukan yang diberikan kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) sama dengan syarikat lain yang membida projek itu.

Minggu lalu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dilaporkan berkata, kerajaan negeri sedang mengkaji beberapa tapak di Klang dan Hulu Selangor sebagai sebahagian cadangan pertukaran tanah untuk membiayai kos pembinaan sebuah kompleks sukan baharu di ibu negeri itu.

Razak berkata, kerajaan negeri nampaknya “mengubah fikirannya” berhubung reka bentuk stadium berdasarkan model stadium yang dipamerkan di Shah Alam bulan lalu.

Beliau menggesa kerajaan negeri mendedahkan kos sebenar memulihkan stadium sedia ada, selain memetik kenyataan Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu daripada DAP di Dewan Undangan Negeri Selangor tahun lalu, yang berpendapat RM787 juta untuk kos baik pulih “sangat-sangat tinggi”.

Kerajaan Selangor pada Julai lalu berkata, ia melantik MRCB menjalankan projek itu melalui perkongsian awam-swasta selepas menapis kira-kira 15 syarikat.

Amirudin dilaporkan berkata, MRCB dipilih atas kemampuan teknikal dan kedudukan kewangannya, selain pembabitannya dalam pemulihan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.