IKBN disaran letak bawah Kementerian Sumber Manusia, kata Zahid

IKBN disaran letak bawah Kementerian Sumber Manusia, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berkata, cadangan itu dikemukakan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan untuk Kementerian Belia dan Sukan tidak akan dikurangkan, jika IKBN diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan meletakkan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

IKBN kini di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu dikemukakan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia di bangunan Parlimen hari ini, yang dihadiri 29 wakil kementerian.

Jika IKBN diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia, katanya, peruntukan untuk Kementerian Belia dan Sukan tidak akan dikurangkan supaya fokus berterusan dapat diberikan kepada golongan belia dalam program dan aktiviti lain.

“Saya setuju dengan cadangan itu kerana pembangunan belia ini jangan ambil mudah dengan kepentingan mereka, termasuk pembiayaan aktiviti persatuan belia.

“Kita mahu juga keterlibatan belia dari segi umur sudah rendah, kita tahu di Tingkatan Tiga akan layak jadi pengundi pada empat, lima tahun lagi, jadi kita mesti menyantuni kehendak mereka,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia.

Terdapat 22 IKBN di seluruh negara yang menawarkan kursus selama 18 hingga 36 bulan bagi memberi latihan vokasional kepada golongan belia dalam bidang kemahiran.

Dalam perkembangan lain, Zahid berkata, walaupun kadar pengangguran menunjukkan trend menurun, semua pihak perlu menggembleng tenaga bagi mencapai sifar pengangguran, khususnya dalam kalangan golongan belia.

“Perdana menteri berhajat mewujudkan sifar miskin, terutama golongan berpendapatan di bawah garis kemiskinan tegar.

“Belia juga tidak terlepas daripada kumpulan tidak bekerja, terdiri daripada separuh pengangguran dan pengangguran penuh, ia terkait dengan beberapa program untuk belia dari segi jangka sederhana dan panjang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.