Hannah beri keterangan berkait program ‘Jom Ziarah Gereja’

Hannah beri keterangan berkait program ‘Jom Ziarah Gereja’

Menteri belia dan sukan itu berkata, keterangannya konsisten dengan jawapannya di Dewan Rakyat minggu lalu berhubung program 'Jom Ziarah Gereja'.

Hannah Yeoh memberi keterangan di IPD Sentul pada 5.40 petang tadi.
PETALING JAYA:
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sudah memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung program “Jom Ziarah Gereja” anjuran sebuah NGO bernaung di bawah kementeriannya.

Yeoh yang ditemani peguamnya, Sangeet Kaur Deo memberi keterangan di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul pada 5.40 petang tadi.

“Saya hadir selepas membaca berita bahawa polis mahu merakam keterangan saya. Saya tidak mahu membuang masa dan hadir ke IPD Sentul bagi membantu siasatan dan berharap polis dapat melengkapkan kertas siasatan.

“Saya percaya keterangan saya konsisten dengan apa yang telah saya jawab di Parlimen minggu lalu berkaitan program berkenaan serta fitnah Chegubard (Badrul Hisham Shaharin),” katanya menurut Harian Metro.

Terdahulu, Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai dilaporkan berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berhubung isu itu, dengan keterangan tiga individu, iaitu pengadu serta dua wakil NGO sudah diambil.

Selain Yeoh, katanya, polis juga akan merakam keterangan Chegubard hari ini.

Pada 14 Mac lalu, Yeoh ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat berkata, program “Jom Ziarah Gereja” yang sepatutnya diadakan Sabtu lalu, tidak membabitkan peserta beragama Islam.

Katanya, program itu bukan bertujuan memberi gambaran semua agama dianuti rakyat adalah sama rata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.