Hadi beri keterangan petisyen batal keputusan PRU15 Parlimen Marang

Hadi beri keterangan petisyen batal keputusan PRU15 Parlimen Marang

Presiden PAS itu memberi keterangan lebih sejam di di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Hassan Abdul Ghani, yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya.

Abdul Hadi Awang tiba di mahkamah Kuala Terengganu untuk memberi keterangan sebagai saksi ketiga pihak responden bagi petisyen Parlimen Marang. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Presiden PAS Abdul Hadi Awang hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu sebagai saksi bagi perbicaraan petisyen PRU15 Parlimen Marang.

Ahli Parlimen Marang itu tiba di mahkamah pada 9 pagi sebagai saksi ketiga bagi pihak responden, memberikan keterangan lebih satu jam dalam prosiding dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Hassan Abdul Ghani, yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya.

Ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, Abdul Hadi menzahirkan rasa syukur kerana perbicaraan hari ini berjalan lancar dan telah selesai menjawab semua soalan dikemukakan peguam kedua-dua pihak.

“Saya jawab semua soalan peguam. Insya Allah kerana tidak melibatkan kesalahan undang-undang pilihan raya, lebih kepada perang saraf,” katanya.

Sementara itu, peguam Takiyuddin Hassan mewakili Abdul Hadi berkata, pihak responden sudah selesai memanggil semua saksi bagi pihak mereka, dengan Abdul Hadi saksi terakhir.

“Tetapi pihak pempestiyen belum lagi selesai memanggil saksi bagi pihak mereka. Mereka kemukakan saksi (dan apabila selesai), kemudian kita akan berhujah,” katanya.

Turut hadir sebagai saksi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah, yang sebelum ini dikenakan waran tangkap kerana gagal hadir memberi keterangan pada perbicaraan Khamis lepas.

Adun Bukit Payung itu hadir sebagai saksi bagi pihak pempetisyen.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Feb lepas, menolak bantahan awal dikemukakan Abdul Hadi untuk membatalkan petisyen keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang yang difailkan calon Barisan Nasional.

Hassan kemudian menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen berkenaan.

Pada 3 Jan, Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ketua Umno Terengganu, Ahmad Said, berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS telah menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 Nov 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.