
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, strategi merampas Kedah daripada PAS dapat menghilangkan fokus dan merencatkan persiapan Perikatan Nasional (PN) untuk menawan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
“Kita masuk kali ini jelas kita nak pertahan Negeri Sembilan, menang di Selangor, bentuk kerajaan di Pulau Pinang. Kedah kita masuk, PRN, kali ini untuk mengambil alih teraju pemerintah negeri. Kelantan, Terengganu kita fokus hantar suara pembangkang yang kuat.
“Dari empat negeri tumpuan saya fikir pendekatan baik fokus Kedah, bila dia (PN) sibuk pertahan Kedah mereka tak berapa tumpu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya ketika ucapan penggulungan Kongres Nasional Khas PKR 2023 di Stadium Malawati.
Saifuddin turut mengaris tiga tuntutan kepada ahli PKR iaitu setiap ahli wajib mempertahankan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar yang disertai 19 parti politik yang terbesar dalam sejarah politik negara.
“Kenapa saya kata kewajipan penting pertahankan kerajaan perpaduan kerana nak uruskan politik gabungan bukan mudah, perlu banyak kesabaran dan ia perlu diterajui tokoh yang punyai seni berpolitik.
“Kedua ialah ahli perlu ada disiplin, jaga silaturahim dan perkukuh parti di peringkat akar umbi,” katanya.
Ketiganya, beliau menggesa supaya ahli PKR bersikap “offensive” mempertahankan kerajaan dalam menjawab segala isu yang dibangkitkan pembangkang.
Saifuddin turut membidas PAS di bawah pimpinan Abdul Hadi Awang yang sangat berbeza dengan pemimpin terdahulu di mana pemimpinnya boleh bertolak ansur.
Katanya, Hadi juga bersikap angkuh apabila bertegas untuk memberi ceramah politik di masjid dan surau walaupun negeri melarangnya, termasuk tidak menghormati saranan Agong supaya tidak melakukan gerakan menjatuhkan kerajaan.
Beliau berkata, pimpinan PAS terdahulu antaranya Nik Abdul Aziz Nik Mat, Fadzil Muhammad Noor, Harun Din dan Yahya Othman walaupun berbeza pandangan politik namun masih punya rasa hormat, kasih sayang, tolak ansur serta tidak menajamkam sengketa politik.
“PAS hari ini di bawah Marang (Hadi), entah kenapa kebencian meluat-luat dan ia diikuti pemimpin sampai di peringkat bawah, politik benci dendam ini sangat jauh dari amalan politik Islam,” katanya.
Beliau juga mengingatkan ahli PKR tidak sekali-kali cuba menjadi hero kaum masing-masing kerana ia tidak membawa kepada perpaduan di Malaysia.