
Dalam keputusan majoriti, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Rahman Sebli dan Hakim Hasnah Hashim memutuskan Wan Shahrizal, Hari & Co tidak berhak mendapatkan RM398,722 daripada aset disita daripada anak guamnya, Amar Asyraf Zolkepli.
Hakim Mary Lim menentang.
“Tidak dinafikan, RM398,722 adalah hutang Amar kepada perayu (firma guaman), yang dia bebas untuk bayar menggunakan mana-mana harta ada padanya tetapi bukan harta disita, yang kami tegaskan semula adalah harta haram.
“Harta haram tidak menjadi harta yang sah di sisi undang-undang dengan menggunakannya untuk membayar yuran guaman,” kata Rahman menerusi penghakiman bertulis dikeluarkan minggu lepas.
Beliau berkata, mahkamah akan menetapkan “duluan berbahaya” jika firma guaman bertindak bagi pihak anak guam dalam prosiding pelucuthakan “berhak untuk dibayar yuran guamannya menggunakan hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang”.
“Itu seperti mengembalikan harta disita kepada orang (yang disita) dan membenarkan dia mendapat manfaat daripada jenayahnya.”
Mengikut undang-undang, katanya, beban ditanggung oleh pihak menuntut untuk menunjukkan mereka pihak bona fide yang mempunyai “kepentingan undang-undang sah” dalam harta yang disita.
Beliau berkata, mahkamah tertinggi tidak menemui bukti sedemikian “kecuali bil dicaj kepada Amar sebagai yuran guaman, yang hanya menunjukkan bahawa Amar berhutang wang itu kepada (firma guaman)”.
Mahkamah juga menolak pertikaian firma guaman bahawa seorang peguam, berdasarkan kedudukannya sebagai pegawai mahkamah, adalah pihak ketiga bona fide.
“(Itu) adalah (usul) yang menarik dan mempunyai akibat meluas. Ia mencadangkan bahawa seorang peguam berhak untuk dibayar yuran guamannya menggunakan harta yang disita.”
Menurut mahkamah, ini akan menjadi halangan utama kepada usaha kerajaan memerangi pengubahan wang haram.
“… kerana wang haram disita bawah akta kemudiannya boleh dibersihkan dengan menggunakannya untuk membayar yuran guaman.”
Amar disiasat pada Jun 2016 atas kesalahan bawah Kanun Keseksaan dan Akta Jenayah Komputer 1997.
Siasatan mendedahkan dia memiliki perisian komputer yang memberikannya akses kepada sistem “MYIMM” Jabatan Imigresen tanpa memerlukan kata laluan atau cap jari.
Amar memberikan perisian itu kepada sindiket yang menggunakannya untuk meluluskan pas kerja dengan menyalahi undang-undang, yang mana dia dibayar RM1,000 bagi setiap kelulusan.
Pihak berkuasa menyita aset berjumlah hampir RM554,000 yang disimpan dalam akaun bank, sebuah pangsapuri di Batu Caves, Selangor, dan sebuah kereta.
Tuntutan yuran guaman daripada aset disita itu pada mulanya dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Temerloh, yang menyatakan Amar mempunyai hak perlembagaan untuk mendapatkan representasi undang-undang, dan firma guaman itu berjaya membuktikan ia dilantik mewakilinya.
Firma itu juga telah mengemukakan keterangan dokumen dalam bentuk bil dikeluarkan kepada Amar bagi jumlah dituntut, yang menurut hakim Mahkamah Tinggi adalah mencukupi untuk membuktikan tuntutannya untuk dibayar daripada aset yang disita.
Keputusan Mahkamah Tinggi, bagaimanapun, dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan.