Kereta terbabas rempuh rumah, 2 beranak terselamat

Kereta terbabas rempuh rumah, 2 beranak terselamat

Ketika kejadian, empat sekeluarga yang menghuni rumah di kepala simpang itu tidak berada di rumah.

Sebuah kereta yang hilang kawalan terbabas dan merempuh sebuah rumah di kepala simpang di Taman Perak, Kulim, semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki berusia 45 tahun dan anak perempuannya berusia 15 tahun terselamat selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebuah rumah di Taman Perak, Kulim, semalam.

Bagaimanapun, dilaporkan ketika kejadian, empat sekeluarga yang menghuni rumah di kepala simpang itu tidak berada di rumah.

Ketua Polis Kulim Mohd Redzuan Salleh berkata, pihak polis trafik menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada 2 petang.

“Hasil siasatan mendapati kereta terbabit sedang bergerak lurus dari Taman Perak hendak membelok ke simpang kanan menghala ke Taman Emas,” katanya, lapor Berita Harian.

“Setiba di lokasi kejadian, kereta yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum terlanggar rumah yang berada di hadapan kepala simpang.”

Susulan kejadian, lelaki yang memandu kereta terbabit membuat laporan di balai polis.

Dia mengalami luka pada kaki dan tangan, manakala anaknya luka pada dahi dan leher, kata Redzuan. Kedua-duanya mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Kulim.

Redzuan berkata, pemandu kereta terbabit mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sah tempoh, dan keputusan ujian saringan kencingnya didapati negatif.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.