Mengamuk dan pukul 2 polis, lelaki mabuk ditahan

Mengamuk dan pukul 2 polis, lelaki mabuk ditahan

Lelaki berusia 30 tahun itu terlanggar penghadang jalan dekat pos pengawal sebelum mengamuk semasa pemeriksaan terhadapnya.

Polis berkata, lelaki itu direman tiga hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. (Gambar AFP)
IPOH:
Polis menahan seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol selepas mengamuk dan memukul dua pegawai rendah polis di hadapan pos pengawal Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima makluman berkaitan kejadian itu kira-kira 12.10 pagi berhubung lelaki tempatan berusia 30 tahun itu terlanggar penghadang jalan dekat pos pengawal sebelum mengamuk semasa pemeriksaan dilakukan terhadapnya.

“Akibat serangan lelaki tersebut, kedua-dua pegawai rendah polis terbabit mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

“Lelaki itu kemudian ditangkap pasukan polis yang tiba memberi bantuan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek direman tiga hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.