
Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim.
Sehubungan itu, Azura menetapkan 23 Mac ini untuk mendengar permohonan pembelaan mengikut Seksyen 51 Kanun Tatacara Jenayah.
Laporan forensik itu membabitkan perbualan ahli perniagaan G Gnanaraja dan pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berhubung pemberian “Coklat RM2 juta” yang didakwa diberikan kepada Lim sebagai rasuah.
Perbualan dalam aplikasi WhatsApp itu didedahkan dalam perbicaraan sebelum ini melalui keterangan pegawai penyiasat forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Mohd Firdaus Wan Yusof.
Terdahulu, Wan Shaharuddin ketika berhujah, mempersoalkan permohonan laporan forensik itu memandangkan saksi pendakwaan, iaitu Zarul serta dua pegawai CZCSB, Azli Adam dan Ibrahim Sahari belum menghabiskan keterangan mereka.
“Azli masih disoal balas separuh jalan oleh pihak pembelaan, manakala Zarul sehingga sekarang masih disoal balas mengenai RM19 juta yang dibayar kepada Gnanaraja, yang Zarul sendiri mengaku memang dia bayar. Sehingga sekarang mereka belum menyentuh isu utama dan kes tersebut. Oleh itu, bantahan awal harus dibenarkan.”
Gobind dalam hujahnya mendakwa pihak pendakwaan cuba menyembunyikan bukti memihak kepada anak guamnya.
Dalam prosiding itu, Wan Shaharuddin dilihat bertepuk tangan dan mengkritik cara pihak pembelaan mengendalikan kes yang disifatkannya suka berdrama, sebelum tindakannya itu ditegur Azura dan memberi peringatan bahawa beliau sedang berada dalam mahkamah.
Gobind yang tidak berpuas hati dengan tindakan Wan Shaharuddin kemudian meninggikan suara dan mempersoalkan amalan serta standard TPR sekarang ini.
Wan Shaharuddin bagaimanapun berkata, tujuan pihak pembelaan memohon laporan forensik untuk memalukan dan mengugut pihak pendakwaan.
Gobind bangun dan membantah kenyataan itu kerana pihak pembelaan tidak pernah membuat ugutan kepada mana-mana pihak sepanjang kes itu berlangsung dan mengulangi pendirian bahawa Wan Shaharuddin sebagai pegawai mahkamah tidak seharusnya menyembunyikan bukti.
Keadaan kembali tenang selepas Azura meminta kedua-dua pihak menghentikan perbalahan.
Lim menghadapi pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta bagi membantu syarikat Zarul mendapatkan projek pembinaan RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10% daripada keuntungan syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.
Lim yang juga bekas setiausaha agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.