
Laporan itu dibuat selepas Bersatu mendakwa Anwar dan Zahid memfitnah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.
Ketua Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari yang mengetuai laporan polis itu mendakwa, Anwar dan Zahid serta sekutunya cuba menjatuhkan kepimpinan PN dan Bersatu menjelang PRN enam negeri.
Dakwanya, Anwar dan Zahid lebih mendahului kuasa pihak berkuasa apabila menuduh Muhyiddin menyeleweng wang kerajaan berjumlah RM600 bilion dan kini angka itu berubah kepada RM300 juta.
“Bagi melumpuhkan kekuatan politik gabungan PN menghadapi PRN, mereka (Anwar dan Zahid) melemparkan fitnah.
“Ini termasuk membekukan akaun bank Bersatu, mendakwa serta mengheret kepimpinan parti ke mahkamah. Kita perlu berhati-hati sebelum membuat apa-apa kenyataan sebagai seorang perdana menteri,” katanya di luar IPD Shah Alam.
Katanya, ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri, beliau difitnah menyeleweng dana RM600 bilion.
“Angka itu kemudian diturunkan kepada RM530 bilion…kemudian turun lagi kepada RM92.5 bilion kepada RM4.5 bilion dan akhirnya RM300 juta.
“Apabila membuat kenyataan mengenai sesuatu perkara besar melibatkan rasuah dan sebagainya, mestilah mendapatkan atau menyediakan fakta terperinci sebelum membuat apa-apa kenyataan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, laporan polis itu dibuat secara berasingan oleh ketua bahagian Bersatu di seluruh Selangor hari ini.
Rashid berkata, Bersatu juga mendesak polis menyiasat kepimpinan negara kerana didakwa memberi tekanan kepada agensi kerajaan khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan pertuduhan dikenakan terhadap Muhyiddin dilihat hanya pendakwaan politik.
Jumaat lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat tuduhan salah guna kuasa berkait program Jana Wibawa, mendapatkan RM232.5 juta untuk partinya, Bersatu, serta dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM195 juta.
Pada Isnin, beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu lagi pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta.