2 penghantar makanan ditahan, polis rampas 120 botol air ketum

2 penghantar makanan ditahan, polis rampas 120 botol air ketum

Polis berkata hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah.

Botol berisi air ketum yang dirampas di Ampang Jaya semalam. (Gambar polis)
PETALING JAYA:
Sebanyak 120 botol cecair berisi air ketum dirampas selepas dua penghantar makanan ditahan di Pandan Indah, Ampang Jaya semalam.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, berkata seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menerusi Op Tapis Khas.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas lelaki itu menemui 11 botol plastik berisi air ketum yang semuanya dianggarkan 8.25 liter.

“Hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 35 tahun di sebuah rumah di sekitar daerah ini dan menemui dua lagi botol berisi cecair dipercayai air ketum,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, suspek kedua kemudian membawa polis ke sebuah lagi rumah yang dipercayai menjadi lokasi penyimpanan air ketum itu dan menemui 111 botol berisi air berkenaan.

“Jumlah keseluruhan air ketum yang dirampas sebanyak RM1,200 dan siasatan mendapati semua air ketum yang dirampas untuk edaran kawasan sekitar.

Katanya, hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka negatif penggunaan dadah dan kini direman tiga hari sehingga 20 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.