
Ia dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 itu bertujuan memasukkan seksyen baharu 507A ke dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan menghendap.
Seksyen itu menyebut sesiapa yang berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, atau mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan orang itu, melakukan kesalahan menghendap.
Menurut rang undang-undang itu, sesiapa yang melakukan kesalahan menghendap boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Turut dibentangkan, Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 yang antara lain bertujuan meminda Jadual Pertama kepada Akta 593 berbangkit daripada kemasukan kesalahan baharu menghendap ke dalam Kanun Keseksaan.
Bacaan kedua bagi kedua-dua rang undang-undang itu dijadual dibentang pada sidang kali ini.
Sementara itu, Azalina berkata perbuatan menjejak seseorang menggunakan apa-apa peralatan seperti kamera tersembunyi atau penjejak GPS bakal dimasukkan dalam kesalahan menghendap.
Katanya, kesalahan itu antara penambahbaikan dalam perkara dasar berhubung kesalahan anti menghendap yang ditetapkan sebelum ini
“Penambahbaikan itu dibuat selepas mengadakan beberapa sesi bersama dengan Women’s Aid Organisation (WAO), Majlis Peguam dan Jabatan Peguam Negara untuk menyemak dan meneliti semula mengenai undang-undang menghendap secara menyeluruh.
“Penambahbaikan ini khusus bagi menangani kes-kes di mana seseorang dijejaki tanpa elemen secara fizikal oleh mana-mana orang dengan menggunakan apa-apa peralatan atau apa-apa kaedah lain contohnya kamera tersembunyi atau GPS tracker bagi tujuan menghendap,” katanya dalam kenyataan.