
Doris Sophia Brodie (PRS-Sri Aman) berkata, jalan raya di Tuba, Muding, Palaie, Pantu, Keranggas dan Engkeranji perlu dibaik pulih kerana rosak teruk.
“Jalan yang diguna pakai sekarang merupakan jalan balak atau laluan ladang maka keadaan jalan amat-amat teruk terutama sekali semasa musim hujan atau tengkujuh.
“Oleh sebab tanah kuning, berbonggol-bonggol, tak berbatu, bersimen atau berturap maka amat sukar dilalui walaupun menggunakan pacuan empat roda,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, bukan sekadar jalan rosak, masyarakat di kawasan itu turut berdepan kesusahan kerana kerap kali berlaku tanah runtuh.
“Sehingga menyebabkan rumah-rumah panjang, kampung-kampung, sekolah di kawasan tersebut terputus hubungan serta jauh daripada fasiliti kesihatan dan hospital,” katanya.
Katanya, sebelum ini bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) kerajaan meluluskan RM364 juta bagi projek menaiktaraf Jalan Tuba, Muding dan Pelaie, manakala bagi Jalan Pantu, Keranggas, Engkeranji pula sebanyak RM141 juta.
Pada 16 Feb lalu, Kementerian Kewangan mengarahkan projek Jana Wibawa ditangguh pelaksanaannya bagi meneliti semula sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan Perbendaharaan, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun, pada 9 Mac lalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan meneruskan projek Jana Wibawa untuk membantu golongan Bumiputera.
Katanya, kerajaan tidak membatalkan Jana Wibawa sebaliknya ia melalui proses runding semula berikutan terdapat banyak pelanggaran sebelum ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Rubiah Wang, ketika menggulung perbahasan memaklumkan projek berkenaan bukan bawah Jana Wibawa.
Katanya, kementerian akan meneruskan pelaksanaan projek itu secara tender mengikut arahan Kementerian Kewangan.