Siasatan jenayah fitnah terhadap Muhyiddin tak perlu, kata LFL

Siasatan jenayah fitnah terhadap Muhyiddin tak perlu, kata LFL

Kumpulan hak asasi itu berkata terdapat jalan lain di mahkamah sivil jika Anwar Ibrahim atau mana-mana individu dalam kerajaan merasa difitnah.

Polis dilaporkan berkata, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin akan dipanggil atas dakwaan memfitnah perdana menteri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lawyers for Liberty (LFL) mengkritik kerajaan mengenai siasatan terhadap Muhyiddin Yassin berhubung jenayah fitnah, sambil berkata Putrajaya sepatutnya memfailkan tindakan sivil terhadap bekas perdana menteri itu.

Pengarah LFL Zaid Malek berkata, tindakan setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuat laporan polis mendakwa berlakunya fitnah “mengejutkan dan tidak demoktratik”.

“Bercanggah dengan undang-undang dan perlembagaan, serta zalim apabila perdana menteri atau mana-mana menteri bergantung kepada pihak berkuasa untuk menyekat sebarang ucapan yang ‘mewujudkan persepsi negatif’ terhadap kepimpinan mereka, seperti yang didakwa oleh setiausaha politik Anwar.

“Jika Anwar atau sesiapa dalam kerajaan merasakan mereka telah difitnah, ada jalan lain di mahkamah sivil untuk mereka membersihkan nama.

“Dalam demokrasi kita, perdana menteri tidak mempunyai status istimewa bawah undang-undang yang membezakannya daripada rakyat biasa. Salah di sisi undang-undang untuk beliau menggunakan polis bagi mempertahankan reputasinya,” katanya dalam kenyataan

Zaid mempersoalkan Anwar sama ada beliau masih ingat bagaimana ahli Pakatan Harapan (PH) disiasat polis kerana mengkritik bekas perdana menteri Najib Razak.

Beliau menggesa Anwar mengarahkan pembantunya menarik balik laporan polis dengan segera dan membawa perkara itu ke mahkamah sivil.

“Sementara itu, polis mesti menghentikan serta-merta sebarang siasatan jenayah bagi kenyataan yang didakwa berunsur fitnah,” katanya.

Kamil Abdul Munim, setiausaha politik Anwar, membuat laporan polis terhadap Muhyiddin berhubung dakwaan presiden Bersatu itu bahawa kerajaan menyalahgunakan agensi penguatkuasaan untuk penganiayaan politik.

Muhyiddin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional, mengulangi dakwaan ini berikutan tuduhan rasuah dikenakan terhadapnya di mahkamah. Dua lagi pemimpin Bersatu turut didakwa atas tuduhan rasuah berkait program Jana Wibawa.

Polis Putrajaya kemudiannya berkata, siasatan telah bermula bagi kes fitnah dan penggunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.

Semalam, Ketua Polis Putrajaya Asmadi Abdul Aziz berkata, Muhyiddin akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.