Laluan MRT Putrajaya: Yang anda perlu tahu

Laluan MRT Putrajaya: Yang anda perlu tahu

Laluan sepanjang 57.7km dari Kwasa Damansara ke Putrajaya akan dibuka kepada orang ramai esok.

Pembinaan Laluan MRT Putrajaya menelan belanja RM30.53 bilion.
PETALING JAYA:
Laluan MRT kedua negara iaitu Laluan MRT Putrajaya akan dibuka pada 3 petang esok, dengan selesainya Fasa 2 projek itu.

Dengan pembinaan yang menelan belanja RM30.53 bilion, Laluan MRT Putrajaya mempunyai 36 stesen dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral, dengan 10 stesen pertukaran dan stesen sambungan, termasuk Titiwangsa, Ampang Park, Chan Sow Lin, dan Sungai Besi.

Pada peringkat awal laluan ini dijangka menampung 104,000 penumpang sehari, dan dijangka akan dapat mengurangkan kesesakan di jalan raya dan lebuh raya menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur, termasuk trafik di Lebuh Raya Maju dan Lebuh Raya Sungai Besi.

‘Ducky’

Sebanyak 49 tren elektrik empat gerabak yang digelar “Ducky” berkhidmat di laluan Putrajaya. Setiap tren mampu membawa 1,200 penumpang pada satu masa.

Tren ini automatik sepenuhnya dan swapandu, serta memiliki dua sistem brek bagi memastikan keselamatan penumpang.

Kekerapan

Perjalanan dari Kwasa Damansara ke Putrajaya memakan masa kira-kira 84 minit, dengan masa operasi bermula seawal 6 pagi dan berakhir tengah malam.

Pada waktu puncak, kekerapan tren antara 4 hingga 6 minit, 7 hingga 10 minit pada waktu lain, dan 7 hingga 15 minit pada cuti umum.

Park dan bayar

Sebanyak 6,416 tempat letak kenderaan tersedia di 17 stesen.

Pengguna MRT menikmati kadar sama rata RM4.30 sekiranya menggunakan kad Touch ‘n Go yang sama untuk letak kenderaan dan menggunakan MRT pada hari yang sama.

Bagaimanapun, pengguna akan dikenakan bayaran sehingga maksimum RM16.10 sekiranya tidak menyentuh kad mereka untuk keluar, menjelang penghujung hari.

Kadar per jam standard akan dikenakan bagi bukan pengguna MRT, iaitu RM3.30 untuk satu jam pertama dan RM1.10 untuk jam seterusnya. Kadar sehari maksimum adalah RM16.10.

Kemudahan lain

Ketersambungan perbatuan pertama dan akhir Laluan MRT Putrajaya disediakan oleh bas pengantara, meliputi 350km dan 31 laluan.

Bas pengantara ini hanya menerima pembayaran nirtunai, dengan tambang antara RM1 hingga RM2.40 bergantung pada laluan.

Pengguna Kad konsesi MyRapid layak menerima diskaun tambang sebanyak 50%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.