
Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) berkata, tanaman tembakau tidak seharusnya mendapat peruntukan utama kerajaan memandangkan kempen menghentikan amalan merokok Kementerian Kesihatan (KKM) masih berterusan.
“Di Malaysia kira-kira 27,000 orang mati setiap tahun kerana penyakit berkaitan tabiat merokok dan lebih parah apabila rokok alaf baru seperti rokok elektronik diberikan lesen penjualan.
“Justeru, saya mencadangkan kerajaan menggubal atau meminda RUU bagi mengharamkan terus tanaman tembakau, begitu juga kilang rokok dan penjualan rokok jika kerajaan serius menoktahkan amalan merokok kepada rakyat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Terdahulu, media melaporkan KKM menyasarkan untuk membentangkan semula RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dalam masa terdekat supaya penguatkuasaannya dapat dimulakan tahun depan.
KKM memaklumkan sudah membuat penelitian semula dan akan meneruskan pembentangan RUU itu dengan pindaan yang dipersetujui Jawatankuasa Pilihan Khas melalui penyata yang disiarkan pada 5 Okt tahun lalu.
RUU itu digubal dengan bacaan kali pertama dan kedua dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Rakyat ke-14 pada Ogos 2022.
Bagaimanapun, ia dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Menimbang Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk penelitian lanjut.
Menurut KKM pembentangan RUU itu tertangguh akibat pembubaran Parlimen pada 10 Okt 2022.