Promosi ‘gaya hidup songsang’ tak boleh diterima, menteri arah Jawi siasat demo

Promosi ‘gaya hidup songsang’ tak boleh diterima, menteri arah Jawi siasat demo

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar mengarahkan Jawi bekerjasama dengan polis.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan diarah bekerjasama dengan polis bagi menyiasat satu tunjuk perasaan di ibu negara baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menyiasat suatu tunjuk perasaan di ibu negara baru-baru ini, sambil menegaskan usaha mempromosi serta menormalisasikan “gaya hidup songsang” tidak boleh diterima sama sekali.

“Jawi tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta undang-undang yang sedang berkuatkuasa,” kata Menteri Mohd Na’im Mokhtar.

Jawi diarah bekerjasama dengan polis dan arahan dikeluarkan selepas menerima laporan dan maklum balas masyarakat berkaitan perhimpunan dan perarakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka, yang berlaku pada 12 Mac.

Na’im menasihatkan semua pihak agar menghormati kedudukan Islam, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Terdahulu, polis dilaporkan akan memanggil pihak yang menyertai tunjuk perasaan tersebut bagi membantu siasatan kerana tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata tunjuk perasaan itu disertai kira-kira 150 orang, yang terdiri daripada aktivis, mahasiswa, dan ahli parti politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.