
RSN Rayer (PH-Jelutong) berkata, beliau pernah membuat cadangan itu semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
“Saya menjunjung Tok Guru Nik Aziz kerana walaupun pemimpin PAS, beliau tak pernah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengguris hati kaum lain.
“Beliau tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menyebabkan orang Cina dan India kurang berpuas hati,” katanya di Dewan Rakyat ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa.
Rayer mendakwa sejak akhir-akhir ini, Ahli Parlimen pembangkang membuat kenyataan yang boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum.
Beliau menggesa pemimpin pembangkang, termasuk Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) dan Abdul Hadi Awang (PN-Marang) menjadikan Nik Aziz contoh.
“Saya mengulangi lagi permintaan saya supaya kerajaan yang ada sekarang, kalau dulu PN tak buat…PAS tak buat…kita buat.
“Kita jadikan beliau (Nik Aziz) ikon perpaduan. Kita sediakan majalah, rencana di mana rakyat berbilang kaum, orang Cina dan India di Kelantan terbela sewaktu beliau menjadi menteri besar.”
Dalam perkembangan lain, Rayer membidas bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad menjadikan perpaduan dalam negara “lebih buruk daripada sebelumnya” kerana terus menyerang pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Tolong Tun, beri kami rehat. Sila berehat. Benarkan Tambun (Anwar) meneruskan pentadbiran. Cukup-cukuplah,” katanya.
Pada 4 Mac lalu, Mahathir dilaporkan berkata, 100 hari pertama Anwar sebagai perdana menteri belum membuahkan hasil kerana beliau hanya memberi janji kosong untuk memulihkan ekonomi dan menyelesaikan isu membabitkan orang Melayu.