
Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mereman Hussein Nasir atau dikenali ‘Datuk Roy’ sehingga Khamis, mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
‘Datuk Roy’ yang memakai baju lokap warna jingga hadir di pekarangan mahkamah kira-kira 10.30 pagi, diiringi beberapa anggota SPRM.
Menurut Utusan Malaysia, Peguam Fahmi Abd Moin memberitahu wakil media, anak guamnya menyerah diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada 2.30 petang, sebelum ditahan pada 3 petang.
Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 iaitu atas kesalahan menerima rasuah.
Ahli perniagaan itu sebelum ini pernah dituduh di mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan rasuah.