
SPRM dalam kenyataan berkata lelaki berusia 54 tahun itu beralamat terakhir di RRM Semambu, Kuantan, Pahang.
Mereka mengenali atau mempunyai maklumat lelaki itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Mohammad Asyraf Mustafa di talian 013-4405210.
Semalam, FMT melaporkan seorang lelaki berusia 50-an, yang dikenali sebagai “Datuk Roy”, dicari oleh SPRM kerana didakwa menjadi “perancang utama” kes rasuah yang berkaitan dengan siasatan badan anti-rasuah ke atas program Jana Wibawa.
Difahamkan, lelaki itu pernah dipenjarakan kerana kesalahan rasuah sebelum ini.
Program Jana Wibawa diperkenalkan pada November 2020 oleh kerajaan Muhyiddin Yassin sebagai inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.
Ia menjadi kontroversi selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan kos yang terlibat dalam beberapa projek diberikan adalah terlalu tinggi, dan beberapa juga tidak melalui proses tender.
Muhyiddin didakwa atas tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Bulan lalu, dua lagi ahli Bersatu didakwa menerima rasuah berhubung Jana Wibawa. Mereka ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.