
Beberapa peguam berkata apa diperkatakan Hamzah itu seolah-olah beliau tahu tentang suatu salah laku, lalu mempersoalkan mengapa dia tidak bertindak ketika itu.
V Vemal Arasan berkata, Hamzah sepatutnya membuat laporan polis sekiranya tahu tentang sebarang penyelewengan yang berlaku.
Katanya, menyimpan maklumat berhubung jenayah merupakan kesalahan.
“Beliau mendakwa ada ahli politik dalam kerajaan hari ini melakukan penyelewengan. Mengapa tiada tindakan diambil sebelum ini?” katanya kepada FMT.
“Beliau sepatutnya mengetahui perkara itu (kesalahan menyimpan maklumat jenayah) kerana pernah menjadi menteri dalam negeri beberapa tahun,” katanya, dan menambah Hamzah dianggap bersubahat sekiranya tidak bertindak selepas mengetahui tentang suatu salah laku.
Semalam, Hamzah dipetik Malaysiakini memberitahu kerajaan supaya jangan mencari salah Perikatan Nasional kerana beliau juga boleh berbuat demikian terhadap parti seteru.
Hamzah dalam wawancara baru-baru ini, berkata beliau ada “banyak fail berkenaan mereka juga” ketika menjadi menteri.
“Saya pernah jadi menteri dalam negeri. Saya rasa saya ada banyak fail berkenaan mereka juga, (terpulang) sama ada saya nak gunakannya atau tidak,” katanya dipetik.
Haniff Khatri Abdulla berkata, tiada guna bagi Hamzah membuat kenyataan sedemikian memandangkan beliau sepatutnya bertindak ketika menjadi menteri dalam negeri.
“Beliau tidak boleh simpan (‘fail’ itu) dan kemudian ingin digunakan bagi tujuan politik. Pada masa lalu, kita dengar ada yang mendakwa mempunyai ‘enam kotak’ fail berhubung penyelewengan kerajaan, namun sehingga ke hari ini tiada yang tampil ke depan,” katanya.
Haniff merujuk kepada bekas pemimpin PKR, Ezam Noor, pada 1998 mendakwa mempunyai “enam kotak” bukti rasuah dilakukan pegawai tinggi kerajaan ketika era pentadbiran pertama Dr Mahathir Mohamad.
Dalam pada itu, Rajesh Nagarajan berkata kegagalan Hamzah bertindak merupakan pengabaian dan kecuaian sebagai penjawat awam.
“Anda tidak boleh membiarkan perkara itu begitu sahaja. Beliau sepatutnya segera mengambil tindakan dan menggesa polis membuat siasatan. Beliau tidak patut menyimpan (kononnya) bukti dan hanya menggunakannya jika terdesak,” katanya.