Rayer tegur SPRM dedah perkembangan siasatan Hakim Nazlan

Rayer tegur SPRM dedah perkembangan siasatan Hakim Nazlan

RSN Rayer berkata Hakim Nazlan Ghazali tidak berpeluang membela diri dan kenyataan SPRM begitu boleh menyebabkan 'macam-macam polemik politik'.

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer meminta SPRM tidak mengeluarkan kenyataan berkaitan kes Hakim Nazlan Ghazali. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditegur seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan kerana membuat kenyataan secara terbuka bahawa kertas siasatan melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Ghazali selesai.

RSN Rayer (PH-Jelutong) berkata Nazlan tidak berpeluang untuk membela diri apabila SPRM mengeluarkan kenyataan begitu.

“Saya ingin menegur, meminta supaya SPRM tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan begini kerana apabila dibuat begitu ia menyebabkan macam-macam polemik politik di luar,” katanya di Dewan Rakyat, ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada September lepas ketika ditemui pemberita berkata kertas siasatan telah selesai namun tidak mahu mengulas siasatan itu. Beliau juga tidak boleh mendedahkan arahan Jabatan Peguam Negara.

Pada 22 April, SPRM berkata pihaknya membuka kertas siasatan berikutan laporan dibuat mengenai jumlah tidak dapat dijelaskan lebih RM1 juta dalam akaun bank Nazlan.

Nazlan membuat laporan polis berhubung dakwaan itu, berkata ia “palsu, tidak berasas dan berniat jahat” dan bertujuan menjatuhkan kredibilitinya sebagai hakim.

Pada Feb lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa siasatan SPRM terhadap Nazlan dilakukan tanpa mengikut protokol.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan sidang tujuh hakim berkata demikian dalam saman tiga peguam untuk mencabar siasatan SPRM terhadap hakim Mahkamah Rayuan itu, berhubung dakwaan RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

“Badan penyiasatan seperti SPRM, mesti berunding dengan ketua hakim negara sebelum siasatan (dimulakan), dan kegagalan tidak memaklumkannya menunjukkan terdapat kekurangan ‘bona fide’ di pihak mereka.

“Pengumuman itu (yang dibuat oleh SPRM di media) sudah cukup untuk merosakkan kebebasan kehakiman,” kata Tengku Maimun.

Nazlan, yang mengetuai perbicaraan Najib Razak dalam kes SRC International di Mahkamah Tinggi, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas perdana menteri itu.

Dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan, Najib berhujah bahawa Nazlan berada di bawah konflik kepentingan yang serius ketika mengetuai perbicaraan itu.

Najib kalah dalam rayuan terakhir dan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.