Kerajaan tak tanggung kos import telur ayam

Kerajaan tak tanggung kos import telur ayam

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menegaskan semua perbelanjaan mengimport ditanggung syarikat pengimport sendiri.

Menurut pihak kementerian, kebenaran mengimport telur ayam boleh ditamatkan pada bila-bila masa selepas bekalan sumber protein itu stabil.
PETALING JAYA:
Tiada dana awam digunakan bagi mengimport telur ayam, kata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Menurut kenyataan, telur ayam tempatan sahaja yang layak menerima subsidi kerajaan.

“Sebarang perbelanjaan dan risiko untuk mengimport telur ayam ini ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pengimport dan tiada dana awam yang digunakan.

“Kebenaran mengimport telur ayam boleh ditamatkan pada bila-bila masa apabila bekalan telur dalam negara telah pulih dan stabil,” kata kenyataan itu.

Pada 6 Dis 2022, menterinya, Mohamad Sabu mengumumkan kebenaran bagi mengimport telur dari sumber luar sebagai langkah sementara untuk mencukupkan kekurangan bekalan telur dalam negara yang agak meruncing, sejak Oktober lalu.

Katanya kenyataan itu, berdasarkan rekod Jabatan Perkhidmatan Veterinar, usaha kerajaan mengatasi kekurangan bekalan telur ayam mula menunjukkan perkembangan positif.

Sehingga Januari 2023, lebihan telur ayam direkodkan melebihi 160 juta biji telur, berbanding kekurangan berlaku pada Oktober 2022, melibatkan 118 juta biji telur.

Pihak kementerian memberi jaminan hanya telur import yang melepasi ujian keselamatan ketat sahaja dibenarkan masuk dalam negara.

“Setakat ini tiada telur ayam yang diimport yang gagal ujian ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.