
Menteri Besar, Sanusi Md Nor berkata ada syarikat lain berkemampuan telah menghantar kertas cadangan pembangunan KXP kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memanggil KXP Airport City untuk memberikan taklimat sejauh mana urusan dengan syarikat Syed Mokhtar itu mengenai projek berkenaan.
“Kalau dia (Syed Mokhtar) terpaksa menolak, silalah menolak, saya tak ada masalah dengan dia, mungkin dia boleh terlibat dengan projek lain. Kalau dia menolak, kita akan buat penilaian baharu (terhadap syarikat lain).
“Kita akan tengok keputusan muktamad Kumpulan Albukhary berdasarkan jawapannya nanti,” katanya selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman.
Sanusi berkata, kerajaan negeri memberi tawaran kepada dua syarikat, termasuk syarikat Syed Mokhtar untuk usahasama (JV) pembangunan projek KXP, manakala sebuah lagi syarikat yang mempunyai kepakaran kargo sudah memberi maklum balas sedia menjalin kerjasama itu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan 12 rumah baharu dibina kerajaan negeri untuk mangsa banjir akibat kepala air di Kampung Iboi dekat Baling tahun lepas, dijangka siap sebelum 27 April ini.
“Peserta membuat cabutan undi rumah yang akan diberikan kepada mereka,” katanya sambil memaklumkan lapan lagi rumah baharu sudah siap dibina Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah untuk mangsa kepala air itu.
Sidang DUN Kedah bersambung esok.