
Puad Zarkashi berkata sudah masuk hari ke-21 selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said memberitahu Parlimen laporan siasatan telah diserahkan kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.
Laporan itu berhubung dakwaan Nazlan sama ada melanggar Kod Etika Hakim 2009.
“Rakyat ingin tahu jika benar siasatan terhadap Nazlan membuktikan memang wujud ‘konflik kepentingan’ dan “’pelanggaran etika’ yang membolehkan Hakim Nazlan didakwa.
“Sebab itu dedahkan sahaja hasil siasatan SPRM itu pada orang ramai,” katanya di Facebook.
September lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata siasatan terhadap Nazlan sudah lengkap namun perincian hasil siasatan tidak dapat didedahkan.
Azam berkata beliau tidak boleh mendedahkan arahan Jabatan Peguam Negara.
Nazlan, yang mempengerusikan perbicaraan SRC International Najib Razak di Mahkamah Tinggi, menyabitkan bekas perdana menteri itu bersalah atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang haram, selain menjatuhi 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.
Dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan, Najib dihalang menggunakan alasan Nazlan berdepan konflik berkepentingan dalam perbicaraannya. Najib gagal dalam rayuan terakhirnya dan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.