
Perunding pengangkutan, Rosli Azad Khan, berkata ketelusan dalam perjanjian konsesi lama dan baharu boleh menjadi pendekatan berbeza dalam memastikan tatakelola baik kerajaan.
“Saya tidak melihat keperluan perjanjian konsesi mesti diletakkan mengikut Akta Rahsia Rasmi. Sekiranya dinyahrahsia, orang awam mampu memahami kandungannya,” katanya sambil merujuk perjanjian seumpama itu ditandatangani ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).
“Banyak perjanjian condong ke arah pemegang konsesi atau menyebelahi korporat. Jadi, menjurus kepada kos pampasan yang tinggi (untuk memansuhkan tol),” katanya kepada FMT.
Pada Khamis, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi, berkata Putrajaya tidak bercadang memansuhkan lebuh raya bertol ketika ini kerana tidak mahu dibebani pembayaran pampasan besar kepada pemegang konsesi.
Pemansuhan tol secara berperingkat antara ikrar terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), pada PRU15.
PH juga membuat ikrar sama pada 2018, walaupun perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad mengakui pemansuhan tol akan membebankan kerajaan.
Sebelum ini, Nanta berkata, kandungan perjanjian konsesi diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan perlu dinyahrahsia sebelum didedahkan kepada awam. Kerajaan juga tertakluk kepada perjanjian kerahsiaan.
Rosli berkata, alternatif kepada nyahrahsia perjanjian konsesi adalah merundingkan semula perjanjian bagi mengekang sebarang peningkatan kadar tol.
“Adalah tidak mampan memansuhkan tol sekelip mata, seperti apa dikatakan Nanta mengambil kira kerajaan berdepan beban kewangan tambahan mengendali dan menyelenggara lebuh raya,” katanya.
Katanya, dana kutipan tol sepatutnya disalur membiayai naik taraf pengangkutan awam antara bandar, memandangkan sektor terbabit kekurangan dana dan terpaksa bersaing dengan perkhidmatan kereta swasta.
Seorang profesor ekonomi dari Universiti Malaya (UM), Nazari Ismail, bersetuju dengan keputusan tidak memansuhkan tol kerana kerajaan berdepan beban kewangan.
Katanya, rakyat Malaysia sejak sekian lama terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan, sehingga menyebabkan paras hutang negara mencapai RM1.5 trilion.
“Akhirnya, orang awam juga yang terpaksa menanggung hutang kerajaan. Jadi, memansuhkan tol hanya mencetuskan lebih banyak masalah bagi tempoh panjang.
“Menjadi tanggungjawab kerajaan menjelaskan mengapa mereka berjanji membuat penghapusan (tol) sebelum pilihan raya, mungkin sekadar taktik meraih undi semata-mata,” katanya.