
Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial, berkata ia membantu kerajaan menyelesaikan masalah pendanaan kesihatan awam untuk tempoh panjang.
Rakyat ketika ini hanya membayar bayaran nominal RM1 bagi mendapatkan konsultasi sebagai pesakit luar, manakala RM5 bagi konsultasi pakar. Pesakit pula membayar caj tambahan bagi preskripsi perubatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Galen, Azrul Mohd Khalib, berkata sebarang cadangan meningkatkan struktur bayaran dianggap “tidak bermakna” memandangkan dana diperolehi masih tidak mencukupi membiayai kos sebenar penjagaan kesihatan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang mahu kerajaan meningkatkan bayaran di klinik kesihatan dan hospital kerajaan.
Menurut Azrul, skim insurans kesihatan kebangsaan membantu memastikan penjagaan kesihatan awam kekal menerima subsidi daripada kerajaan dengan tiada caj dikenakan kepada pesakit.
Beliau merujuk struktur bayaran semasa yang diperkenalkan pertengahan 80an, sambil menambah rakyat sejak itu menikmati 95% kos rawatan disubsidikan menggunakan dana awam.
“Bayaran ini sudah lapuk dan tidak mencukupi bagi menampung kos sebenar.
“Bayaran semasa juga menimbulkan kekeliruan orang awam berhubung kos sebenar penjagaan kesihatan,” katanya sambil menyatakan ia tidak lagi mampan.
Azrul berkata, apa jua langkah diambil kerajaan untuk menaikkan bayaran tidak akan diterima orang awam, selain menjejaskan persepsi politik.
“Bayaran ini menjadi kekangan kepada pembaharuan. Daripada meningkatkan bayaran daripada RM1 dan RM5, kerajaan sepatutnya membatalkan sahaja semuanya.
“Penyelesaian lebih mampan dan bermakna membiayai penjagaan kesihatan sepatutnya dicadang serta disokong, seperti skim insurans kesihatan kebangsaan,” katanya.
Azrul berkata, skim insurans kesihatan kebangsaan melibatkan hampir keseluruhan masyarakat menyumbang dalam tabung dana, bertujuan membiayai penjagaan kesihatan.
Katanya, inisiatif itu terpakai kepada semua pekerja dan berdasarkan skala pendapatan bulanan dan umur, serta akan terdapat pengumpulan kolektif bagi kedua-dua dana dan risiko.
Azrul percaya skim seumpama itu bukan sahaja membantu berkongsi beban dan tanggungjawab pembiayaan sistem kesihatan, malah berpotensi memberi kestabilan subsidi awam untuk mengekalkan akses serta kualiti perkhidmatan penting itu.
Pakar kesihatan awam, Dr Tharani Loganathan dari Universiti Malaya, bersetuju dengan cadangan skim insurans kesihatan kebangsaan, sambil berkata ia perlu diberi pertimbangan, berbanding meningkatkan struktur bayaran.
Beliau berkata, kebanyakan rakyat tidak mempunyai sebarang insurans kesihatan dengan kos mendapatkan rawatan swasta pula mahal, justeru menjadikan penjagaan kesihatan awam sebagai “satu-satunya pilihan” bagi golongan pertengahan dan miskin.
“Daripada menaikkan bayaran, kerajaan perlu meningkatkan sumbangan kepada Kementerian Kesihatan, selain mempertimbang bentuk lain membiayai penjagaan kesihatan seperti insurans kesihatan,” katanya.
Sistem penjagaan kesihatan awam negara yang menampung kira-kira 65% populasi, sebahagian besarnya dibiayai daripada pendapatan serta kutipan cukai kerajaan.