Politik Melayu dalam zaman kemerosotan, dakwa Wan Fayhsal

Politik Melayu dalam zaman kemerosotan, dakwa Wan Fayhsal

Ketua Pemuda Bersatu berpandangan pengaruh politik Melayu dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) semakin mengecil dan minima.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyifatkan kerjasama Umno dan DAP sebagai pengkhianatan terbesar dalam sejarah politik Melayu.
KUALA LUMPUR:
Politik Melayu sedang berada dalam ‘the age of decline’ atau zaman kemerosotan, kata Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Beliau mendakwa, antara sebab kemerosotannya dilihat sejak 2018 hinggalah masa ini, pengaruh politik Melayu dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) semakin mengecil dan minima.

“Ini akan menjadikan naratif Melayu, naratif ekonomi, sosiobudaya dan kepercayaan orang Melayu, semakin tidak signifikan dan dianggap sebagai naratif picisan atau naratif yang alternatif”, katanya di Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu kali ke-4.

Tambahnya, di Parlimen juga jarang mendengar Ahli Parlimen dari kerajaan bercakap tentang kelangsungan Melayu dan Bumiputera.

Beliau mendakwa, hanya Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) sahaja yang berani menyuarakan hal demikian.

“Saya khuatir, jika situasi ini berterusan, orang Melayu akan hilang rasa kepunyaan kepada tanah air mereka sendiri dan akhirnya beranggapan bahawa demokrasi tidak berupaya untuk merealisasikan hasrat dan kepentingan politik mereka.

“Situasi ini perlu kita elakkan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Fayhsal juga berpandangan ‘pakatan tidak suci’ antara Umno dan DAP juga merupakan sebab politik Melayu menyumbang zaman kemerosotan.

Beliau berkata, pakatan dua parti itu disifatkan sebagai pengkhianatan terbesar dalam sejarah politik Melayu.

“… (Ini) disaluti hipokrasi politik yang pelik lagi jelik. Pakatan tidak suci ini merupakan hasil kerja senyap-senyap Presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) sendiri bersama pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) setelah sekian lama.

“Tatkala Umno sedang meneroka kerjasama politik bersama PN, mereka juga pada masa yang sama berpakat-pakat dengan PH”, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.