Perdagangan haram hidupan liar meningkat

Perdagangan haram hidupan liar meningkat

Perhilitan berkata ia telah mengendalikan 443 kes di platform dalam talian sejak 2020.

Ketua Pengarah Perhilitan Abdul Kadir Abu Hashim berkata pihak berkuasa perlu sentiasa berada “dua langkah di hadapan” daripada penjual. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketika banyak perniagaan dan aktiviti komersial ditutup susulan penularan Covid-19 beberapa tahun lalu, transaksi platform e-dagang dan pembelian dalam talian meningkat, begitu juga perdagangan haram hidupan liar.

Sebelum wabak itu, Malaysia terkenal sebagai negara sumber serta hab transit aktiviti terbabit, selain disenarikan antara 10 negara teratas di mana jenayah berkenaan sentiasa berleluasa.

Walaupun penjualan hidupan liar secara dalam talian dipantau sejak 2014 namun peniaga dan pemburu terpaksa menyesuaikan operasi mereka susulan sekatan dan larangan terhadap perjalanan domestik dan antarabangsa.

Mengikut statistik Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), sebanyak 443 kes membabitkan perdagangan haram hidupan liar di platform dalam talian telah ditangani sejak 2020.

Ketua Pengarahnya, Abdul Kadir Abu Hashim, berkata Facebook menjadi pasaran paling popular, meliputi separuh daripada jumlah kes dikendalikannya tahun lepas.

Platform lain yang digunakan termasuk Instagram, WhatsApp, Telegram, Shopee, Mudah, dan Carousell.

Kadir berkata platform TikTok semakin popular untuk perdagangan haram hidupan liar dalam tempoh enam bulan lalu.

Tangkap layar hantaran penjualan haram hidupan liar di Facebook.

Beliau berkata penjual biasanya mengiklankan hidupan liar untuk perdagangan dan pembeli berminat boleh menghubungi mereka melalui telefon, e-mel atau pesanan terus untuk membuat perjanjian.

Lazimnya hidupan liar itu dihantar kepada pembeli menggunakan pos, pengangkutan awam, melalui orang tengah, serta penghantaran terus jualan (COD).

Beliau berkata hidupan liar yang dijual secara haram dalam talian termasuk anak kera ekor panjang, lotong gelap, memerang, beruang matahari dan burung shama berbulu putih.

Mengikut senarai merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), kera ekor panjang dan lotong gelap dilabel terancam manakala beruang matahari dikategorikan sebagai terdedah.

Permintaan bukan hanya sebagai haiwan peliharaan eksotik namun beberapa bahagiannya seperti gading dan sisik tenggiling digunakan untuk perubatan atau perhiasan mewah.

Urus niaga dilakukan tanpa ada pertemuan di antara penjual dan pembeli sebaliknya dihantar oleh orang tengah.

Kadir berkata pihaknya berdepan cabaran memantau penjualan hidupan liar secara dalam talian.

“Peniaga tiba-tiba akan memadam akaun mereka daripada platform tetapi muncul semula selepas dua hingga tiga bulan,” katanya kepada FMT.

“Kemudian mereka akan menukar nama akaun mereka berulang kali untuk mengelak pihak berkuasa.”

Beliau berkata pihak berkuasa perlu sentiasa berada “dua langkah di hadapan” daripada peniaga bagi memastikan mereka tahu kaedah yang digunakan.

Di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, mereka yang didapati memburu, menyeludup atau memiliki hidupan liar boleh didakwa.

Menerusi pindaan terhadap akta itu yang berkuat kuasa 1 Feb lalu, individu mengimport, mengeksport atau mengeksport semula hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas atau menyeludup hidupan liar yang dilindungi berdepan denda sehingga RM1 juta dan penjara maksimum 15 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.