Majlis Peguam beri amaran susulan kes kakitangan pecah amanah

Majlis Peguam beri amaran susulan kes kakitangan pecah amanah

Majlis Peguam berkata ada peguam tidak mengetahui tindak tanduk kakitangan mereka, selain cuai membuat semakan silang berhubung rekod kewangan secara kerap.

Peguam digesa menggunapakai pengurusan risiko baik dan amalan usaha wajar bertujuan meminimumkan risiko menjadi mangsa pecah amanah.
PETALING JAYA:
Firma guaman diberi peringatan supaya lebih berwaspada menguruskan akaun mereka dan kaedah mengendalikan pelanggan susulan tiga kes pecah amanah dilakukan kakitangan sokongan terbongkar.

Perkara itu dimaklumkan Majlis Peguam dalam pekeliling, baru-baru ini, oleh Lembaga Tatatertib Peguam Bela dan Peguam Cara susulan beberapa siri kes penyelewengan.

“Walaupun peguam itu dinamakan dalam aduan kepada lembaga, didapati penyelewengan ini dilakukan dua kerani dan pengurus,” kata badan itu dalam pekeliling berkenaan.

Kakitangan sokongan dikenalpasti menguruskan fail, selain berkomunikasi secara langsung dengan pelanggan tanpa memberi maklum atau mengemas kini maklumat dengan peguam.

“Selain tidak mengetahui apa yang kakitangan dilakukan, peguam terbabit juga tidak melaksanakan semakan silang terhadap kewangan mereka secara kerap,” kata pekeliling itu.

Menjelaskan latar belakang kes penyelewengan itu, Majlis Peguam berkata, peguam berkenaan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kakitangan sokongan untuk berurusan secara langsung dengan pelanggan.

“Kakitangan sokongan akan mengarahkan pelanggan membuat bayaran secara tunai dengan memberi alasan akaun firma dalam proses dipindahkan ke bank lain,” katanya.

Sebaliknya, mereka mengarahkan pelanggan memindahkan wang terus ke akaun peribadi kakitangan terbabit untuk “menjimatkan masa dan mengelak kesulitan pengeluaran daripada akaun pelanggan”.

Pembayaran itu diterima tanpa adanya resit rasmi dikeluarkan, atau sekadar pemberitahuan penerimaan menggunakan kepala surat firma, namun wang berkenaan tidak dimasukkan dalam akaun pelanggan di firma.

“Apabila kakitangan berpindah ke firma lain, mereka akan mengeluarkan wang itu daripada akaun pelanggan menggunakan cek sudah ditandatangani seperti diamanahkan peguam terbabit,” katanya.

Majlis Peguam menggesa peguam menggunapakai pengurusan risiko baik dan amalan usaha wajar bertujuan meminimumkan risiko menjadi mangsa pecah amanah.

Ia menasihatkan peguam tidak menandatangani cek kosong, menyimpan buku cek dalam kotak berkunci, dan konsisten memeriksa serta menentusahkan segala pembayaran. Perkara sensitif dan pelanggan tidak sepatutnya dikendalikan tanpa sebarang pemantauan oleh kakitangan perundangan atau rakan kongsi, kata pekeliling itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.