
Beliau berkata, prosesnya mungkin sedang dibincangkan kerana Perak pastinya memberi keutamaan terhadap keperluan negeri sendiri terlebih dahulu dan dasar sedemikian tiada salahnya.
“Ini kita tengok…apakah benar ada lebihan yang banyak, unjuran dia, untuk keperluan lima tahun, 10 tahun, itu semua dikaji secara ilmiah dan saintifik, kemudian baru buat keputusan,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Air Sedunia 2023 di Stadium Indera Mulia di sini.
Sambutan bertemakan “Accelerating Change” itu turut dihadiri Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai kerajaan Perak yang belum bersedia berunding dengan Pulau Pinang mengenai pembekalan air ke negeri jirannya itu.
Pada 1 Dis lepas, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad dilaporkan berkata, keputusan kerajaan negeri tidak melaksanakan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) kepada Pulau Pinang muktamad.
Terdahulu, Anwar dalam ucapannya berkata, Malaysia tidak sepatutnya berdepan masalah bekalan air pada musim kemarau kerana negara ini mempunyai limpahan air dan hujan yang banyak setiap tahun.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mencari langkah terbaik mengatasi sebarang masalah pada musim kemarau, termasuk mengkaji kaedah digunakan negara lain.
“Tak guna kita ada kepintaran dan kebijaksanaan, tapi tak dimanfaatkan. Nik (Nik Nazmi)…kita tak mahu dengar tahun depan bila musim kemarau, air tiada kerana negara kita hujan lebat dua kali setahun.”