
Setiausaha Agung Parti Hijau Malaysia, Abdul Razak Ismail berkata, beliau mengemukakan permintaan itu di bawah Enakmen Kebebasan Maklumat (Selangor) Khamis lalu.
Beliau mahu kerajaan negeri mendedahkan sama ada projek itu diberikan melalui tender terbuka serta terma rujukannya, antara lain.
Beliau juga ingin tahu apakah elaun atau faedah diterima Menteri Besar, Amirudin Shari dan Exco Selangor, Izham Hashim sebagai ahli lembaga pengarah Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) (MBI) yang dianugerahkan projek pelebaran sungai itu.
“Kita nak lihat dia (pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri) balas ke tidak?…atau dibalas dengan jawapan = maaf maklumat diminta di bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi). Kita nantikan,” katanya di Facebook.
Gerbang Maritim Selangor akan menyaksikan pelebaran dan pendalaman Sungai Klang dari Mid Valley City di Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang.
Awal bulan ini, seorang pemimpin Perikatan Nasional negeri membuat laporan polis terhadap Amirudin dan Izham atas dakwaan salah guna kuasa ke atas projek itu.
Ketua Penerangan PN Selangor, Shukor Mustaffa mendakwa projek itu dianugerahkan melalui rundingan terus, walaupun dinafikan pembantu Amirudin.
LLSB dilaporkan berkata, Amiruddin dan Izham menganggotai lembaga pengarah syarikat itu untuk mewakili kepentingan kerajaan negeri.
Izham ialah exco infrastruktur dan kemudahan awam, pemodenan pertanian dan industri asas tani.