
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Husain Awang, berkata mereka yang belum memiliki tauliah perlu mengemukakan permohonan bagi membolehkan mengajar agama secara sah.
Bagaimanapun, katanya, sebahagian ahli politik daripada PAS sudah memiliki tauliah itu.
“Insya-Allah kita mohon tauliah. Ada yang telah mohon…ada yang dapat dan ada yang tak dapat,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau berkata, ahli politik PAS yang menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid serta surau hanya menyampaikan ilmu agama, bukannya politik.
“Kita menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang Islam, berdakwah, menyampaikan ‘Amar Makruf dan Nahi Mungkar’ kepada rakyat.
“Itu tugas asasi kita di mana jua dan Islam ini di bukit pun Islam, di laut pun Islam, di darat pun Islam, di masjid apatah lagi,” katanya.
Pada 3 Mac lalu lalu, Maidam mengeluarkan larangan ahli politik memberikan kuliah, ceramah agama dan khutbah Jumaat di seluruh masjid serta surau negeri itu.
Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid.
Keputusan itu dibuat selepas Maidam mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.