
Presiden Bersatu itu tiba pada kira-kira 8.40 pagi, manakala para penyokongnya telah berkumpul di luar kompleks mahkamah sejak kira-kira 8 pagi.
Menjelang 8.30 pagi, hampir 100 orang telah berkumpul, dengan kebanyakannya memakai baju putih terpapar muka Muhyiddin dan tertera slogan “Kami Bersama Abah”.
“Abah” merujuk kepada gelaran yang diberikan kepada Muhyiddin semasa beliau menjadi perdana menteri.
Para penyokong kemudian mula melaungkan “Hidup Abah” dan “Hancurkan Pakatan Harapan”.
Sementara itu, Ketua Perikatan Nasional (PN) Pahang Saifuddin Abdullah turut dilihat memasuki kompleks mahkamah.
Muhyiddin ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang semalam berhubung siasatan agensi itu terhadap program Jana Wibawa.
Pengerusi PN itu dibenarkan keluar selepas lebih sembilan jam di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Beliau menegaskan bahawa tuduhan yang dijangka akan dikenakan terhadapnya bermotifkan politik dan bertujuan mencemarkan nama baiknya serta imej Bersatu dan PN.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, yang juga bekas ketua penerangan Bersatu, dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad sebelum ini didakwa atas tuduhan rasuah berhubung program Jana Wibawa.