
KWSP berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai pengumuman oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, semalam, mengenai kemudahan itu.
“KWSP ambil maklum perkembangan ini dan akan mempertimbangkan semua faktor relevan bagi memastikan pelaksanaan yang lancar. Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan kemudahan ini akan diumumkan KWSP pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Anwar ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat berkata, kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman mereka sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.
Kaedah itu boleh ditawarkan kepada pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.
“Pada prinsipnya, saya tidak setuju pengeluaran khas dana simpanan persaraan rakyat.
“Bagaimanapun, saya akan pastikan KWSP memberikan ruang bagi pencarum yang mempunyai wang dan dalam keadaan terdesak untuk pinjam daripada bank dengan kolateral atau jaminan cagaran daripada wang KWSP,” katanya menurut Bernama.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, pihaknya menyifatkan kaedah KWSP memberikan ruang kepada pencarum yang mempunyai wang dan dalam keadaan terdesak pinjam dari bank, dengan jaminan cagaran bank, adalah yang terbaik.
Anwar berkata, mereka yang dicadangkan boleh melakukan pengeluaran itu hanya tertumpu kepada yang mempunyai wang dalam KWSP.
“Saya cadangkan yang mempunyai peluang, ada seorang yang merayu kepada KWSP dia mempunyai RM1 juta (dalam KWSP) tetapi terikat kat situ.
“Dia terpaksa bayar untuk hutang perniagaannya sekitar RM180,000 hingga RM200,000, itu spesifik kes. Oleh itu saya kata, tak pelah kita buat koleteral, dia tidak ‘withdraw’ (keluarkan) daripada KWSP, tetapi dalam masa sama KWSP buat koleteral itu sebagai cagaran,” katanya.