Sabitan bunuh kebakaran tahfiz bergantung keterangan ikut keadaan, mahkamah diberitahu

Sabitan bunuh kebakaran tahfiz bergantung keterangan ikut keadaan, mahkamah diberitahu

Peguam Haijan Omar berhujah, anak guamnya mengemukakan pembelaan alibi tidak berada dalam pusat tahfiz itu pada hari kejadian, tetapi duduk di tangga sebelum pulang ke rumah.

Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat pada 14 Sept 2017 mengorbankan 21 pelajar dan dua guru. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu tiada saksi mata menyaksikan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 penghuni enam tahun lepas.

Peguam Haijan Omar yang mewakili seorang remaja lelaki selaku perayu berhujah, pihak pendakwaan hanya bergantung kepada keterangan ikut keadaan yang tidak kukuh bagi menyokong kes tersebut.

“Pihak pendakwaan bergantung kepada keterangan ikut keadaan melalui saksi pendakwaan ke-68 dan ke-69, yang melihat perayu melompat pagar memasuki pusat tahfiz berkenaan dan penemuan pemetik api,” katanya yang dibantu peguam Asyraf Abu Bakar Hamzah.

Haijan berkata, anak guamnya mengemukakan pembelaan alibi bahawa dia tidak berada dalam pusat tahfiz itu pada hari kejadian, tetapi duduk di tangga sebelum pulang ke rumah.

“Keterangan mengenai alibi juga tidak langsung disiasat pegawai penyiasat. Saya dengan rendah diri berhujah sabitan dikenakan itu tidak selamat dan mahkamah ada kuasa melihat perkara ini serta membenarkan rayuan ini,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling berhujah, saksi pendakwaan ke-68 dan ke-69 adalah saksi mata kepada kejadian perayu melompat pagar memasuki tahfiz berkenaan.

“Saksi-saksi berkenaan dapat mengecam perayu dengan melihat gaya dan pakaiannya. Ketika kejadian panjat itu, ada cahaya lampu jalan. Mahkamah Tinggi memutuskan pengecaman dibuat saksi terbabit adalah selamat dan diyakini.”

Remaja lelaki itu yang kini berusia 22 tahun merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkannya ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana membunuh 23 individu dalam kebakaran di pusat tahfiz berkenaan.

Pada masa sama, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan seorang lagi remaja terhadap tuduhan membunuh tanpa dipanggil membela diri.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, panel tiga hakim diketuai Abu Bakar Jais yang bersidang bersama Che Mohd Ruzima Ghazali dan See Mee Chun menetapkan 11 Mei ini untuk sambung hujahan.

Menurut pertuduhan dipinda, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicam, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi 14 Sept 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh digantikan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.