PM pertahan Saifuddin berkait pengecualian usul Umno tak pertanding ‘top 2’

PM pertahan Saifuddin berkait pengecualian usul Umno tak pertanding ‘top 2’

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sudah menjelaskan perkara itu.

Januari lalu Umno meluluskan usul menghalang pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang memberikan pengecualian kepada Umno berhubung usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi dalam pemilihan parti akan datang.

“Dia (Saifuddin) sudah menjelaskan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis di Taman Tasik Titiwangsa.

“Undang-undang memerlukan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) merujuk (perkara itu) kepada menteri dan undang-undang memberinya kuasa tertentu.”

Anwar berkata, beliau juga sebelum ini pernah “mengatasi” keputusan yang dibuat penjawat awam.

“Sebagai contoh, beberapa pegawai telah diarahkan untuk memberikan tender (melalui rundingan terus). Saya ‘override’ keputusan sedemikian dan meminta tender terbuka,” katanya ketika diminta mengulas keputusan Saifuddin.

Selasa lalu, Saifuddin mengesahkan Umno diberikan pengecualian mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 mengenai resolusi dibuat pada perhimpunan agung parti untuk menghalang pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

Bawah Seksyen 70, menteri diberi kuasa menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan akta tersebut.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengkritik keputusan Saifuddin memberikan pengecualian kepada parti itu.

Khairy, yang dipecat Umno pada Januari menuduh Saifuddin menggunakan kuasa eksekutif untuk membebaskan perbuatan menyalahi undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.