Lebih 47,000 mangsa banjir 3 negeri masih di PPS

Lebih 47,000 mangsa banjir 3 negeri masih di PPS

Johor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 45,048 orang mangsa meningkat berbanding 42,852 malam semalam.

JPBN berkata Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 35,099 orang mangsa setakat ini telah dipindahkan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Lebih 47,000 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri, dengan Johor terus merekodkan peningkatan jumlah mangsa setakat 8 pagi tadi.

Daripada jumlah itu, Johor merekodkan 45,048 orang mangsa meningkat berbanding 42,852 malam semalam, meskipun banjir mulai surut di beberapa daerah.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 35,099 orang dipindahkan, diikuti Muar dengan 4,094 mangsa dan Tangkak dengan 2,436 orang.

JPBN berkata, keadaan banjir di beberapa daerah seperti Mersing, Kota Tinggi, Kluang dan Segamat pula makin pulih.

Sebanyak 10 sungai masih melepasi paras bahaya antaranya Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok (Batu Pahat) kini berada di paras 19.94m; Sungai Muar di Buloh Kasap (Segamat), 9.30m dan Sungai Muar di Bukit Kepong (Muar), 4.96m.

Di Pahang, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir pada pagi ini kekal dengan 2,248 mangsa daripada 659 keluarga dan ditempatkan di 15 PPS sekitar Rompin.

Laman web publicinfobanjir pula melaporkan Sungai Keratong di Rompin masih melebihi paras bahaya pagi ini.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir di Jasin turun kepada 523 mangsa daripada 141 keluarga pagi ini berbanding 557 mangsa daripada 149 keluarga malam tadi dan semua mangsa ditempatkan di lima PPS.

Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah menempatkan seramai 193 mangsa, SK Parit Penghulu, (142), SK Seri Mendapat (32), SK Sungai Rambai (94) dan Sk Parit Gantong (62).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.