Buruh dituduh cuba bunuh polis

Buruh dituduh cuba bunuh polis

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 12.15 tengah malam, 1 Mac lalu.

Tertuduh S Ramesh, 33, (tengah) diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di Georgetown atas pertuduhan cubaan membunuh anggota polis, minggu lalu. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Seorang buruh kontrak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan cubaan membunuh anggota polis berpangkat lans koperal dalam kejadian minggu lalu.

S Ramesh, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Mengikut kertas pertuduhan, Ramesh didakwa melakukan perbuatan cubaan membunuh dengan mendatangkan kecederaan kepada anggota polis Mohamad Azril Syamil Mohamad Hanafi.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 12.15 tengah malam, 1 Mac di sebuah rumah beralamat No 10A, Lebuh Thean Teik dalam daerah Timur Laut.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong, tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana tahap keseriusan kes, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon budi bicara mahkamah agar membenarkan jaminan dengan jumlah minimum, memandangkan dia mempunyai pendapatan RM1,300 sebulan selain belum berkahwin dan tiada tanggungan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mendekati mangsa sehingga selesai perbicaraan serta menetapkan 11 April untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.