Tambahan RM1.4 bilion peruntukan Kementah tiada kaitan LCS, kata Tok Mat

Tambahan RM1.4 bilion peruntukan Kementah tiada kaitan LCS, kata Tok Mat

Menteri pertahanan berkata jumlah penambahan itu melibatkan perolehan aset lain.

Mohamad Hasan berkata tidak timbul isu penambahan bajet bagi tujuan perolehan LCS semata-mata.
PETALING JAYA:
Pertambahan RM1.4 bilion kepada Kementerian Pertahanan menerusi Belanjawan 2023 tiada kaitan penambahan kos projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan, berkata jumlah penambahan itu melibatkan perolehan aset pertahanan lain.

“Bajet Kementerian Pertahanan dapat tidak ada kena mengena dengan projek LCS, ia hanya melibatkan perolehan aset lain, tidak termasuk dalam bajet kerajaan terdahulu, tetapi senarai yang kami minta telah diluluskan kerajaan hari ini terutama perolehan bagi sistem radar dan sebagainya.

“Tidak timbul isu penambahan bajet bagi tujuan perolehan LCS semata-mata,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen pembangkang sama ada pertambahan peruntukan Belanjawan 2023 sebanyak RM1.4 bilion oleh kerajaan untuk digunakan ke atas projek LCS.

Beliau berkata, peningkatan peruntukan itu juga akan digunakan bagi tujuan perolehan kapal misi pesisir (LMS) untuk tentera laut (TLDM).

Mengulas lanjut, Mohamad berkata pihaknya akan berunding dengan Kementerian Ekonomi berhubung kos untuk meneruskan projek LCS petang ini dan keputusan itu akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Ditanya sejauh mana perkembangan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai projek LCS, Mohamad memaklumkan pihaknya tidak mengetahui perkembangan itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan tugasan penyiasatan.

“Menteri pertahanan tak tahu menahu proses siasatan, yang kami tahu siasatan dijalankan SPRM sama ada dah selesai ke belum kami tak tahu, sama ada tindakan akan diambil kami tak tahu, yang kami tahu kami nak siapkan LCS untuk kita perkasakan aset negara kita,” katanya.

Mengulas isu penyelarasan pencen bagi veteran ATM, Mohamad berkata kementeriannya sedang mencari formula terbaik baik menyelesaikan masalah itu secara menyeluruh.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan peruntukan RM17.7 bilion untuk Kementerian Pertahanan iaitu peningkatan RM1.4 bilion berbanding belanjawan dibentang kerajaan sebelum PRU15.

Ia meliputi belanja mengurus berjumlah RM11.4 bilion dan pembangunan berjumlah RM6.3 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.