Saya masih sebut ibu seperti dia masih ada, kata anak penumpang MH370

Saya masih sebut ibu seperti dia masih ada, kata anak penumpang MH370

Ahli keluarga mereka yang hilang bersama pesawat Malaysia Airlines itu mahu pencarian diteruskan.

Jacquita Gonzales (kiri) dan Grace Nathan berharap pencarian MH370 diteruskan, tidak kira berapa lama.
PETALING JAYA:
Sudah sembilan tahun sejak penerbangan Malaysia Airlines MH370 hilang tanpa jejak, namun Grace Nathan masih bercakap tentang ibunya seolah-olah beliau masih ada.

Justeru, orang yang tidak mengenali mereka mungkin tidak sedar bahawa ibunya, Anne Daisy, adalah salah seorang penumpang penerbangan malang itu.

“Dari segi emosi, akan sentiasa wujud kelompongan itu kerana tiada penyudahan. Contohnya, saya masih merujuk kepada ibu saya seolah-olah beliau masih ada, jadi orang yang tidak mengenali saya tidak akan tahu apa-apa tentang kehilangannya.

“Saya tidak pernah merujuknya sebagai tiada, meninggal dunia atau sebagainya. Saya tidak pernah dapat menggambarkannya seolah-olah tidak lagi bersama kami,” katanya kepada FMT.

Grace Nathan kecewa kerana laporan MH370 masih tidak jelas selepas sembilan tahun pesawat itu hilang tanpa jejak.

Grace, 35, berkata, dalam tempoh sembilan tahun kebelakangan ini, banyak kali dia ingin menelefon ibunya, terutamanya untuk memaklumkan berita gembira.

“Saya benar-benar harap beliau ada untuk memberikan nasihat dan untuk saya bercakap dan berbincang dengannya mengenai perkara yang berlaku dalam hidup saya.

“Saya makin merinduinya, tambah-tambah lagi apabila saya dapat anak. Saya harap beliau ada di sini untuk sama-sama melalui pengalaman ini,” katanya.

Grace, yang berada di United Kingdom ketika MH370 hilang, mengimbau pengalaman apabila dia hanya sempat mencapai pasport, beg tangan dan komputer ribanya sebelum menaiki penerbangan pulang ke Malaysia dalam keadaan sehelai sepinggang.

Menyifatkan penerbangan itu sebagai tempoh 14 jam paling lama dalam hidupnya, Grace berkata, dia berlari untuk keluar dari pesawat sebaik mendarat, dengan harapan mendapat maklumat terkini.

“Saya bertanyakan berita kepada pramugari. Katanya, belum ada berita dan saya ingat berasa sangat lega kerana tiada berita pada masa itu adalah berita baik,” katanya.

Namun, setelah hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan kini berganti tahun, keluarga mangsa masih menunggu berita.

“Saya berasa jengkel. Kami masih bertanya soalan yang sama dan menunggu jawapan yang sama. Kami masih bertanya, kenapa MH370 berpatah balik, dan kenapa sistem komunikasi dimatikan? Kenapa ini berlaku? Di mana MH370 sekarang?

“Soalan yang sama kami ajukan pada hari pertama kejadian, kami masih bertanya sembilan tahun kemudian,” katanya.

Walaupun Grace tidak mengharapkan ibunya muncul semula, dia berkata, penting pencarian pesawat yang hilang itu diteruskan kerana ini soal keselamatan penerbangan.

“Kejadian ini sepatutnya menjadi sesuatu yang dibimbangkan oleh semua orang. Kita benarkan Boeing 777 yang sebegitu besar hilang begitu sahaja dan kita tidak peduli bagaimana ia berlaku.

“Tidak sepatutnya begitu. Saya benar-benar tidak mahu lihat kejadian serupa berulang,” katanya.

Grace berharap kerajaan akan lebih terbuka untuk meneruskan pencarian, serta menyeru kerajaan agar menjadi lebih mudah didekati dan mendengar pendapat keluarga. Perlu ada lebih ketelusan, katanya.

Jacquita Gonzales berkata, mendapat penyudahan sangat penting kerana dia tidak dapat memberikan penghormatan terakhir kepada suaminya dengan sempurna.

Jacquita Gonzales, isteri Patrick Gomes, seorang penyelia dalam penerbangan MH370, berkata mereka yang berada dalam penerbangan itu tidak boleh dianggap sebagai cagaran sampingan.

“Mereka ada keluarga dan insan tersayang yang akan merindui mereka. Kita tidak boleh biarkan begitu sahaja dan tidak ambil tahu apa yang terjadi (kepada MH370).

“Harapnya perkara ini akan dibentangkan dalam sidang Parlimen. Saya harap mereka masih ingat dan teruskan usaha (mencari). Mungkin tahun ini, siapa tahu,” katanya.

Bagi wanita berusia 60 tahun itu, mendapat penyudahan sangat penting kerana dia tidak dapat memberikan penghormatan terakhir kepada suaminya dengan sempurna.

“Jika seseorang yang kita sayang meninggal dunia, kita kebumikan atau bakar, dan abunya diletakkan di suatu tempat yang boleh kita kunjungi sewaktu ulang tahun kematian mereka, atau hari jadi, dan nyalakan lilin serta berdoa. Saya tidak dapat buat begitu.

“Tiada tempat yang boleh saya pergi. Pada masa ini, saya hanya ada kenangan, dan apa yang saya rasa. Saya dapat lihat Patrick dalam diri anak-anak saya,” katanya.

Pesawat Boeing 777 itu hilang kira-kira 40 minit selepas berlepas meninggalkan Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Kehilangannya kekal sebagai salah satu misteri terbesar dalam industri penerbangan kerana pesawat itu masih belum ditemui walaupun dengan misi pencarian terpanjang dan paling mahal dalam sejarah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.