
Adun Telang Usan Dennis Ngau berkata masyarakat orang asli mengalu-alukan aktiviti pembalakan kerana mereka mendapat faedah daripadanya.
Ulu Baram menjadi penempatan kepada 32 komuniti Orang Asal dan kira-kira 4,000 orang dari masyarakat Kenyah, Kelabit, Saban dan Penan.
Ngau, dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata beliau mengetahui pendirian masyarakat terbabit selepas bertemu dengan mereka.
Beliau juga berkata Perbadanan Perhutanan Sarawak dan jabatan perhutanan negeri, yang mengawal selia aktiviti pembalakan, telah bertemu dengan masyarakat untuk menerangkan bagaimana mereka boleh mendapat faedah daripadanya.
Salah satu faedah katanya, adalah peluang pekerjaan.
“Selepas mengadakan pertemuan dengan komuniti tempatan ini, saya menyedari mereka mengalu-alukan pembalakan,” katanya kepada FMT.
Pada 14 Feb, masyarakat Penan mengadakan sekatan untuk menghalang pembalakan daripada berlaku di kampung Ba Abang di Ulu Baram, menuntut syarikat pembalakan itu berhenti “memusnahkan tanah kami tanpa kebenaran”.
Tetapi Ngau memperkecilkan sekatan itu, mengatakan ia didirikan oleh “sekumpulan kecil penduduk”.
“Jika kita mahu pembangunan, kita perlu membuat konsesi,” katanya ketika diminta mengulas pertikaian antara sebahagian masyarakat dan syarikat pembalakan.
Beliau juga berkata sebelum ini beliau mengambil masa tiga atau empat hari untuk perjalanan dari Miri ke Ulu Baram, tetapi kini hanya mengambil masa enam jam sahaja. “Syarikat pembalakan telah membina jalan raya,” katanya.
SAVE Rivers, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi tumpuan kepada memperkasakan masyarakat luar bandar untuk melindungi tanah dan sungai nenek moyang mereka, berkata pembalakan biasanya berlaku di tapak di mana masyarakat Orang Asal tinggal selama beberapa generasi.
Pengarah Urusannya, Celine Lim, berkata kawasan perkuburan nenek moyang juga terletak di situ.
Lim berkata ramai masyarakat Orang Asal tidak menyedari bahawa tanah mereka berada dalam kawasan konsesi di mana pembalakan berlaku, kerana mereka tidak dirujuk.
“Pada mesyuarat yang diadakan antara syarikat pembalakan dan ketua-ketua kampung, ketua-ketua digalakkan menandatangani dokumen yang mungkin mereka tidak faham.
“Mereka secara ringkas ditunjukkan peta kawasan Ulu Baram tetapi tidak diberi salinan untuk dibawa pulang, bermakna mereka tidak dimaklumkan di mana sempadan dan status tanah itu.”
Lim juga berkata terdapat salah tanggapan bahawa masyarakat Orang Asal tidak mahu tanah mereka dibangunkan.
“Ini adalah salah. Kita mahu pembangunan tetapi kita mahu dirujuk dan dimasukkan ke dalam perkara ini,” katanya.