
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan mengenai kesihatan mental itu akan dibangkitkan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) kepada menteri kesihatan pada sesi soal jawab.
Soalan sama ada kerajaan berhasrat melaksanakan pemberian subsidi perumahan kepada pembeli rumah pertama akan dikemukakan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu).
Beliau ingin tahu sama ada subsidi itu akan melibatkan golongan B40 dan M40, serta Skim Pembiayaan “Sewa untuk Beli” akan diperluas kepada semua pembeli rumah pertama.
Turut tersenarai, soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) kepada menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim berhubung respons pelbagai industri dan pasaran terhadap perdagangan karbon sukarela.
Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) pula akan membangkitkan soalan mengenai rancangan menambah baik sistem pengangkutan awam di seluruh negara dalam jangka masa lima tahun, kepada menteri pengangkutan.
Selain itu, Wong Chen (PH-Subang) meminta menteri dalam negeri menyatakan komitmen kerajaan untuk menyahjenayahkan kesalahan dadah kecil dalam usaha mengurangkan populasi banduan penjara di negara ini.
Selesai sesi soal jawab, menteri-menteri akan menjawab perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat dasar mengikut kementerian masing-masing.