Saifuddin sahkan Umno diberi pengecualian lulus usul tak pertanding ‘top 2’

Saifuddin sahkan Umno diberi pengecualian lulus usul tak pertanding ‘top 2’

Menteri dalam negeri berkata pengecualian itu diberikan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Usul tidak mempertandingkan jawatan ‘top 2’ memastikan Ahmad Zahid Hamidi (kiri) kekal sebagai presiden Umno, dan Mohamad Hasan timbalan presiden bagi penggal baharu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Umno diberi pengecualian di bawah Akta Pertubuhan 1966 berhubung keputusan usul tambahan dalam Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU 2022) supaya jawatan ‘top 2’  tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti itu.

“Kementerian telah meneliti ketetapan dibuat oleh Perhimpunan Agung Umno 2022 daripada Setiausaha Agung Umno (Ahmad Maslan) pada 3 Mac.

“Merujuk kepada Perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan Umno, Kementerian berdasarkan Seksyen 70, Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) telah memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13 (1) (c) (14) Akta 832 kepada Umno berhubung keputusan usul tambahan yang diluluskan dalam PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Di bawah Seksyen 70, menteri diberi kuasa untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan akta.

Pada 4 Mac, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) meluluskan usul tambahan berkenaan, dan telah menerima surat daripada menteri KDN mengenai keputusan agensi itu pada hari sebelumnya.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, surat daripada KDN itu adalah satu keabsahan bahawa jawatan presiden dan timbalan presiden Umno disahkan tidak dipertandingkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.